8.11.2015

Tuhan Jagakan Dia

8/8/2015 satu tarikh yang tak dapat aku lupakan. Perginya dia seorang ibu yang aku sangat kasihi. Perginya ibu yang aku, adik, kakak dan abah cintai.  Mama...kalaulah boleh diputar waktu kembali kak sya akan  lebih prihatin terhadap kesihatan mama. Namun siapalah aku untuk putarkan segala waktu kembali.

Hampir berbelas tahun mama menghidap penyakit buah pinggang. Dari seorang yang agak berisi sedikit dah jadi kurus umpama lidi. Benarlah kata orang tanda-tanda apabila saat kematian hampir...kadangkala seseorang itu berubah laku. Bukan tak pernah mengalami masa arwah wan dahulu. Nampaknya kita tak mampu untuk menilai mentafsir segalanya. Pernah bila duduk berduaan dengan mama, mama berseleroh "mama dah nak mati". Aku abaikan kata-kata mama. Malah menangis dan merajuk bila mama bicara sebegini. Bila aku masak..semua serba tak kena di mata mama. Dan pernah aku hampir menangis namun ditahan apabila aku bawa buah tangan kueh teow goreng kesukaan dia.. bila disuap ke mulut mama membebel makanan tak sedap semuanya serba tak kena. Sedangkan itulah antara makanan kegemarannya. 


Paling ketara perubahan bila aku cucikan najisnya ketika dia di hospital khamis lepas. Kenapalah aku masih tak tahu bila najis bertukar hitam petanda ajal hampir dekat. Sedangkan khamis itu mama masih mampu berbicara, gelak ketawa bila aku unjukkan video cucunya yang keletah. Mama masih mampu berbicara dengan makcik sebelah. Allah Maha Besar Maha Mengetahui segala sesuatu. Dialah yang Mematikan malah Menghidupkan. Mama tenat keesokannya... Aku sangka biasa-biasa. Kenapa? Sebab acapkali aku lihat mama sakit sebegitu. Mungkin adik-adik perasan sesuatu yang tidak kena. Tapi aku?? Masih tak mampu melihat "keganjilan"yang ada. 

Malam ketika menjaganya dia kulihat melambai-lambai tangannya. Kusangka dia bermimpi. Bila ku genggam tangan sambil menyebut namanya berkali-kali..mama membuka mata. Melihat sebentar langsung lena kembali. Berkali-kali mama melambai. Aku pegang jua tangannya. Dalam hati terdetik "mama usahla melambai..nanti kak sya ikut mama. kaksya ada sebelah ni". Jam berganjak jarumnya.. pukul 12 mama mula mengerang sakit. Lenguh sana sini sambil mulutnya tak henti menyebut Allah. Beristigfar. Walau dalam nada payah tak lekang dibibirnya. Aku mula tak keruan. ku alih bantal yang menyokong kakinya berkali-kali kerana ku lihat mama tidak selesa. Namun aku terlupa untuk menjengah bekas dialisisnya yang bocor itu..Lagipun sudah diikat dikemasrapikan oleh staffnurse. Langsung tak tergerak untuk meneliti. 

Dalam rasa mengantuk menguasai diri aku masih lagi berjaga. Aku lihat perkataan "LOW RISK" di hujung kepalanya. Masih lagi aku berkira-kira.. Insya Allah tak ada apa-apa. Kulihat mulut mama bergerak-gerak. Ku tanya berkali-kali..mama nak air.. perkataan yang keluar.."mama tak nak minum". Gundah hati macam mana mama nak sihat kalau petang td minum pun sikit makan pun hanya suku sudu. Bila staffnurse datang dengan ubat mengikut jadual. Aku minta staffnurse hancurkan ubat lalu aku bancuh dengan air. Aku tahu mama mana mampu hendak menelan satu persatu. Kali ini aku memujuk mama "mama bangun la..mama kena makan ubat. Mama kena kuat. Kami perlukan mama". Ada nada getar di situ. Aku lihat mama angguk. Dibukanya mulut dan aku segera menghulurkan straw habis dihirup mama. Perit ku lihat mama menelan..perit juga tekak aku terasa. Aku pujuk mama sekali lagi agar dibilas tekaknya dengan air zam zam. Mama akur.. Banyak juga mama minum. Usai minum mama lena kembali..Namun kali ini tak lama...

Kali ini mama kulihat semakin tenat. Debaran kian terasa. Aku tak tentu arah. Selepas membetulkan bantal di kakinya yang terjatuh sedikit. Aku lihat mama bergerak. Kali kedua mama meminta air. Aku berikan air untuk mama. Banyak juga air diteguknya. Kemudian aku lihat mama seperti ingin membetulkan kedudukannya. Lalu aku duduk disisi di mana bekas dialisis mama yang tak berani aku nak usik itu...tiba-tiba terasa satu cairan yang hangat di seluar jeans yang aku pakai. Panik! Air apa? Aku pegang dan lihat darah..segera aku buka lengan baju yang menutupi bekas dialisis mama. Allah..darah..kali ini banyak dan lencun. Penuh. Macam mana aku tak sedar??

Saat aku berlari memanggil staffnurse aku lihat mama mula berbicara. "doktor saya pening". Tindakan doktor pantas.. segera bertindak bila melihat mama bleeding. Allah aku dah gementar. Aku lihat mama tak mampu nak bernafas. Aku segera ke sisinya mama mintak oksigen.. berkali aku menjerit "doktor oksigen!!Cepatlah doktor mak saya perlukan oksigen". sambil memujuk mama supaya bertenang sambil mengajarnya mengucap. mama masih mampu mengucap. Namun aku tahu kuasa Allah tiada siap yang dapat menghalang. Sebaik mama terima oksigen aku lihat mata mama mula memandang aku. Tapi pandangannya kosong.. Tiada erti. Berkali doktor memanggil mama. "makcik asma..makcik asma.." ada sedikit reaksi. Kali kedua pun begitu.. aku mengambil alih di sini doktor yang ketika itu doktor sibuk mencari bp menggunakan  alat di hujung betisnya. Aku panggil mama...mama react dengan mengangguk lemah. Dalam mereka berusaha aku memberi laluan kepada doktor dan staffnurse. Kali ini..mama di tolak ke sudut lain. Bantuan menggunakan oksigen lain..Kali ni aku pasrah..bp mama undetected. berkali-kali undetected. ketika doktor letakkan di kaki Alhamdulillah ada pergerakan jantung tetapi lemah. Doktor letakkan wayar di dadanya.aku lihat di screen dengan harapan agar ada sinar harapan di situ..  18, 24 naik turun pergerakan jantung mama namun.. jantung mama tetiba terhenti... Ada garis halus panjang di situ... aku tak mampu berbicara. Air mata turun selajunya dari tadi. Walaupun aku dah redha di saat mama bertarung nyawa.. Air mata tetap turun selebatnya. Allah... Mama... Mama.. berkali-kali aku panggil..Staffnurse doktor mintak aku keluar dan mereka mahu mencuba sedaya upaya. Apakan daya kita hanya manusia. Hanya Allah yang Maha Berkuasa. Jantung yang tadi berhenti degup..kemudian berdegup... kali ini..berhenti terus untuk selama-lamanya.

Kelam aku rasa dunia. Aku telefon abah untuk kali kedua. Kali pertama semasa mama bleeding. Hanya mampu ku ucap "Abah mama dah tak ada" sambil menangis hiba. Allah....Takmampu ku padam terus dari ingatan segala yang berlaku. Segala yang terpampang di pandangan mata saat mama bertarung dengan nyawa. Mungkin ada hikmah di sebalik Allah berikan aku kesempatan untuk bersama mama di saat-saat akhirnya. Allah... bahagian dia Engkau sempurnakan sebaik-baik perjalanan. Harap perjalanan aku nanti begitu jua. Ya Allah..jagakan dia untukku. Kau berikanlah Rahmatmu keatasnya. Tempatlah dia di kalangan orang-orang yang beriman... Amin. Al Fatihah Buat Mama....


#satu pesanan aku buatmu teman di luar sana...sila perihatin dengan keadaan mahupun kesihatan ibu/bapa anda. Walaupun kurang tenat..risikonya rendah.. namun apabila di Loh Mahfuz tertulis sekian tarikhnya.. maka kembalilah kita kepada PenciptaNya. Saya sekadar berkongsi cerita. Harap yang masih ada ibu dan bapa hargailah mereka selagi mereka ada. 


Foto Ihsan TPISP Kelisa



1 comment:

  1. Takziah utk sya..sya kena kuat ye.. Bru tau mama sya dah xde..😓

    ReplyDelete